Hukum Hakam Korban
October 26, 2011
Allah subhanahu wa ta’ala berfirman yang ertinya, Maka solatlah untuk Rabbmu dan sembelihlah haiwan.” (Qs. Al Kautsar: 2) Syaikh Abdullah Alu Bassaam menyatakan, “Sebahagian ulama ahli tafsir menyatakan; yang dimaksud dengan menyembelih haiwan adalah menyembelih haiwan korban setelah solat Ied.” Pendapat ini dinukil daripada Qatadah, Atha’ dan Ikrimah (Taisirul ‘Allaam, 534, Taudhihul Ahkaam IV/450, & Shahih Fiqih Sunnah II/366). Dalam istilah ilmu fiqih haiwan korban biasa disebut dengan namaAl Udh-hiyah yang bentuk jamaknya Al Adhaahi (dengan huruf ha’ tipis).
Pengertian Udh-hiyah
Udh-hiyah adalah haiwan ternak yang disembelih pada hari Iedul Adha dan hari Tasyriq dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah kerana datangnya hari raya tersebut (lihat Al Wajiz, 405 dan Shahih Fiqih Sunnah II/366)
Keutamaan Korban
Menyembelih korban termasuk amal salih yang paling utama. ‘Aisyah radhiyallahu’anha menceritakan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah anak Adam melakukan suatu amalan pada hari Nahr (Iedul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah melebihi mengalirkan darah (korban), maka hendaknya kalian merasa senang kerananya.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al Hakim dengan sanad sahih, lihat Taudhihul Ahkam, IV/450)
Hadis di atas didhaifkan oleh Syaikh Al Albani (Dhaif Ibn Majah, 671). Namun kegoncangan hadis di atas tidaklah menyebabkan hilangnya keutamaan berkorban. Banyak ulama menjelaskan bahawa menyembelih haiwan korban pada hari idul Adlha lebih utama daripada sedekah yang senilai atau seharga dengan haiwan korban, atau bahkan lebih utama daripada sedekah yang lebih banyak daripada nilai haiwan korban. Ini kerana maksud terpenting dalam berkorban adalah mendekatkan diri kepada Allah. Bukan semata-mata nilai binatangnya. Disamping itu, menyembelih korban lebih menampakkan syi’ar islam dan lebih sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. (lihat Shahih Fiqh Sunnah 2/379 & Syarhul Mumthi’ 7/521)
Hukum Korban
Dalam hal ini para ulama terbahagi dalam dua pendapat:
Pertama: Wajib bagi orang yang berkelapangan. Ulama yang berpendapat demikian adalah Rabi’ah (guru Imam Malik), Al Auza’i, Abu Hanifah, Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, Laits bin Sa’ad beserta beberapa ulama pengikut Imam Malik, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan Syaikh Ibnu ‘Uthaimin rahimahumullah. Syaikh Ibn Uthaimin menyatakan: “Pendapat yang menyatakan wajib itu nampak lebih kuat daripada pendapat yang menyatakan tidak wajib. Akan tetapi hal itu hanya diwajibkan bagi yang mampu…” (lih. Syarhul Mumti’, III/408)
Di antara dalilnya adalah hadis Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang berkelapangan (harta) namun tidak mahu berkorban maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (HR. Ibnu Majah 3123, Al Hakim 7672 dan dihasankan oleh Syaikh Al Albani)
Pendapat kedua menyatakan Sunnah Mu’akkadah (ditekankan). Dan ini adalah pendapat majoriti ulama iaitu Malik, Syafi’i, Ahmad, Ibnu Hazm dan lain-lain. Ulama yang mengambil pendapat ini berdalil dengan riwayat dari Abu Mas’ud Al Anshari radhiyallahu ‘anhu. Beliau menyatakan, “Sesungguhnya aku sedang tidak berkorban. Padahal aku adalah orang yang berkelapangan. Itu kulakukan kerana aku khuatir kalau tetanggaku menyangka korban itu adalah wajib bagiku.” (HR. Abdur Razzaq dan Baihaqi dengan sanad shahih).
Demikian pula dikatakan oleh Abu Sarihah, “Aku melihat Abu Bakar dan Umar sementara mereka berdua tidak berkorban.” (HR. Abdur Razzaaq dan Baihaqi, sanadnya shahih) Ibnu Hazm berkata, “Tidak ada riwayat sahih dari seorang sahabatpun yang menyatakan bahawa korban itu wajib.” (lihat Al Muhalla 5/295, dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah II/367-368, dan Taudhihul Ahkaam, IV/454).
Dalil-dalil di atas merupakan dalil pokok yang digunakan masing-masing pendapat. Jika digabungkan semuanya menunjukkan masing-masing pendapat sama kuat. Sebahagian ulama memberikan jalan keluar dari perselisihan dengan menasihatkan: “…selayaknya bagi mereka yang mampu, tidak meninggalkan berkorban. Ini kerana dengan berkorban akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan, wallahu a’lam. (Tafsir Adwa’ul Bayan, 1120).
Yakinlah…! Bagi mereka yang berkorban, Allah akan segera memberikan ganti belanja korban yang dia keluarkan. Ini kerana setiap pagi Allah mengutus dua malaikat, yang satu berdo’a: “Yaa Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq.” Dan yang kedua berdo’a: “Yaa Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan hartanya (kedekut).” (HR. Al-Bukhari 1374 & Muslim 1010).
Haiwan yang Boleh Digunakan untuk Korban
Haiwan korban hanya boleh dari jenis Bahiimatul Al An’aam (haiwan ternak). Dalilnya adalah firman Allah yang ertinya, “Dan bagi setiap umat Kami berikan tuntutan berkorban agar kalian mengingat nama Allah atas rezeki yang dilimpahkan kepada kalian berupa haiwan-haiwan ternak (bahiimatul an’aam).” (Qs. Al Hajj: 34).
Dalam bahasa arab, yang dimaksud Bahiimatul Al An’aam hanya merangkumi tiga binatang iaitu unta, lembu atau kambing. Oleh kerana itu, berkorban hanya sah dengan tiga haiwan tersebut dan tidak boleh selain itu. Bahkan sekelompok ulama menukilkan adanya ijma’ (kesepakatan) bahawasanya korban tidak sah kecuali dengan haiwan-haiwan tersebut (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/369 dan Al Wajiz 406) Syaikh Ibnu ‘Uthaimin menyatakan, “Bahkan jika seandainya ada orang yang berkorban dengan jenis haiwan lain yang lebih mahal daripada jenis ternak tersebut maka korbannya tidak sah. Andaikan dia lebih memilih untuk berkorban seekor kuda seharga 10.000 rial sedangkan seekor kambing harganya hanya 300 rial maka korbannya (dengan kuda) itu tidak sah…” (Syarhul Mumti’ III/409)
Seekor Kambing untuk Satu Keluarga
Seekor kambing cukup untuk korban satu keluarga, dan pahalanya mencakupi seluruh anggota keluarga meskipun jumlah ahli keluarganya ramai, baik yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal. Sebagaimana hadis Abu Ayyub radhiyallahu’anhu yang menyatakan, “Pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam seseorang (suami) menyembelih seekor kambing sebagai korban bagi dirinya dan keluarganya.” (HR. at-Tirmidzi dan beliau menilainya shahih, lihat Minhaajul Muslim, 264 dan 266)
Oleh kerana itu, tidak selayaknya seseorang mengkhususkan korban untuk salah satu anggota keluarganya tertentu, misalnya korban tahun ini untuk bapanya, tahun depan untuk ibunya, tahun berikutnya untuk anak pertama, dan seterusnya. Sesungguhnya kurnia dan kemurahan Allah sangat luas maka tidak perlu dibatasi.
Bahkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berkorban untuk dirinya dan seluruh umatnya. Suatu ketika beliau hendak menyembelih kambing korban, sebelum menyembelih beliau menyatakan: “Yaa Allah ini – korban – dariku dan dari umatku yang tidak berkorban.” (HR. Abu Daud 2810 & Al Hakim 4/229 dan dishahihkan Syaikh Al Albani dalam Al Irwa’ 4/349).
Berdasarkan hadis ini, Syaikh Ali bin Hasan Al Halaby menyatakan: “Kaum muslimin yang tidak mampu berkorban, mendapatkan pahala sebagaimana orang berkorban daripada umat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.”
Adapun yang dimaksud: “…kambing hanya boleh untuk satu orang, lembu untuk tujuh orang, dan unta 10 orang…” adalah belanja pembeliannya. Belanja pembelian kambing hanya boleh daripada satu orang, belanja pembelian lembu hanya boleh dari maksimum tujuh orang dan korban unta hanya boleh dari maksimum 10 orang.
Namun seandainya ada orang yang hendak membantu shohibul korban (orang yang melakukan korban) yang kekurangan belanja untuk membeli haiwan, maka diperbolehkan dan tidak mempengaruhi status korbannya. Dan status bantuan di sini adalah hadiah bagi shohibul korban. Apakah mesti izin terlebih dahulu kepada pemilik haiwan? Jawab: Tidak mesti, kerana dalam transaksi pemberian sedekah mahupun hadiah tidak disyaratkan memberitahu kepada orang yang diberi sedekah mahupun hadiah.
Ketentuan Untuk Lembu & Unta Baca selanjutnya »













