Kursus Induksi Pengurusan Jenazah Mengikut Sunnah
October 18, 2009Alhamdulillah, pada 11 Oktober 2009, bertempat di Surau Kampung Sungai Pusu yang terletak berhampiran dengan Universiti Islam Antarabangsa Gombak, satu kursus pengurusan jenazah telah berjaya diadakan. Ia bertujuan khas untuk melatih fasilitator-fasilitator INTIS Consultan sekaligus mendidik mereka tatacara pengurusan jenazah mengikut sunnah.
Ini merupakan langkah pertama ke arah pembentukan modul pengurusan jenazah mengikut sunnah. Ini kerana permintaan yang banyak untuk kursus pengurusan jenazah di kalangan masyarakat, sedangkan penganjurnya mungkin hanya boleh dibilang dengan jari. Lalu INTIS Consultant mengorak langkah untuk menambahkan keilmuan para fasilitator. Ini kerana da’wah mestilah dimulai dengan ilmu, da’wah tanpa ilmu hanya akan merosakkan umat Islam kerana kesesatan dan kemusnahan akan berleluasa.
Di dalam kursus ini, para fasilitator telah didedahkan secara ‘live’ cara-cara memandikan mayat, mengkafankan mayat serta mensolatinya. Pendedahan secara ‘live’ ini memudahkan lagi kefahaman para fasilitator, bahkan berjaya membuktikan bahawa pengurusan jenazah mengikut sunnah tidaklah sesukar mana sebagaimana yang selalu hinggap di pemikiran sebahagian daripada kita.
Selain daripada sesi praktikal, sesi soal jawab turut diadakan. Kursus ini dilakukan di bawah tunjuk ajar al-Fadhil Ustaz Rasul Bin Dahri. Setinggi terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz yang bukan setakat hadir menunjuk ajar, bahkan beliau telah menghadiahkan kami nota-nota berkaitan jenazah, bahkan beberapa biji buku yang diberikan secara percuma kepada peserta kursus kali ini.
Insya-allah, semoga kursus ini mencapai objektifnya untuk INTIS Consultant terus maju mengorak langkah da’wah kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Wallahu Musta’an.
[Di bawah ini adalah sebahagian gambar ketika kursus berlangsung]












